Sabtu, 14 Juni 2014

CINTA RASULULLAH SAW

CINTA RASULULLAH….CINTA TERINDAH

nabi muhammad sawDua kalimah syahadah adalah bukti bahawa cinta kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. tidak terpisah. Cinta Allah itu tujuan, cinta Rasulullah itu jalan. Tidak mungkin tercapai tujuan “lailahaillallah” tanpa mengikut jalan “Muhammad Rasulullah.”
Keyakinan kita kepada Allah adalah atas curahan ilmu, didikan, bimbingan dan pimpinan Rasulullah. Justeru, Rasulullah itu manusia biasa yang sangat luar biasa. Baginda tidak dididik oleh manusia, tetapi dididik oleh Allah s.w.t.
Kata-katanya tidak pernah sia-sia melainkan terpandu segalanya oleh wahyu. Allah berfirman yang bermaksud: “Rasulullah tidak berkata melainkan wahyu Allah.” (Surah al-Najm 53: 3-4)
Jika hati mencintai kebaikan, maka butalah hati itu jika tidak mencintai Rasulullah… kerana Bagindalah insan terbaik dan paling banyak menabur kebaikan. Jika hati mencintai keindahan, maka matilah hati itu jika tidak jatuh cinta kepada keindahan Rasulullah; senyuman, sapaan, teguran, bujukan, bahkan marahnya sekalipun tetap indah.
Kita masih boleh membayangkan seorang yang pernah mengikat perutnya dengan batu bagi menahan kelaparan ketika berjihad. Baginda insan yang pernah patah giginya oleh asakan dan tusukan senjata musuh. Kenangi seorang insan yang pernah luka-luka dilontar dengan batu-batu, dilempari najis dan bangkai, diperosok ke dalam duri dan lubang, akhirnya dikepung untuk dibunuh… hanya kerana ingin menyampaikan iman dan Islam buat manusia.
Kebaikan Rasulullah bukan sahaja dinikmati oleh generasi yang hidup bersama-samanya, tetapi melampaui masa, zaman dan keadaan. Cinta Baginda turut menyentuh hati kita.
Cinta tidak semestinya bertemu. Cinta tidak semestinya bersama. Dimensi cinta ialah ukuran rasa, bukan oleh jarak yang jauh atau masa yang panjang dan pendek. Cinta merombak batasan masa, jarak dan ruang.
Inilah insan yang sewajarnya dicintai. Insan yang tidak akan lega tanpa dijanjikan keselamatan buat umatnya. Insan telah pergi menemui al-Rafiq al-A‘la (Teman daerah tinggi iaitu Allah) tanpa mewariskan sebarang harta. Bahkan menurut ahli sejarah, ketika itu lampu di rumahnya sudah kehabisan minyak…
Itulah cinta Rasulullah. Itulah yang mesti ada ada dalam jiwa agar kita berpeluang bersama-samanya di dalam syurga. Dan sewajar selalu bertanya kepada hati sendiri, “Di mana Rasulullah di hati kita?”
Di mana Rasulullah di hati kita?
Mengapa semua ini melibatkan soal hati? Ya, kerana yang paling berkuasa dalam diri manusia ialah hati. Imam al-Ghazali menegaskan bahawa hati umpama raja yang paling berkuasa dalam diri manusia. Pancaindera dan segala anggota badan bagaikan rakyat yang tunduk dan patuh kepada perintah hati.
Hati adalah tempat cinta bertakhta. Cinta itu yang mengawal hati. Jika seseorang mencintai sesuatu, seluruh tenaga, upaya dan fokus dalam hidupnya akan ditumpukan kepada apa-apa yang dicintai.
Oleh kerana itu, kita perlu berhati-hati apabila mencintai dan dicintai. Kita perlu berhati-hati memilih “siapa” dan “apa” yang hendak kita cintai.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, maksudnya: “Seseorang akan menjadi hamba kepada apa-apa yang dicintainya.” (Riwayat al-Bukhari)
Syukur, jika hati mencintai Allah, kita akan menjadi hamba kepada Allah dan seluruh hidup kita akan terfokus kepada iman dan Islam. Alangkah ruginya jika di hati kita bertakhta kejahatan dan kemungkaran kerana kita akan menjadi hamba kepada kejahatan dan kemungkaran itu.
Cinta Allah Segala Sumber
Hidup memang untuk cinta. Tetapi cinta kepada siapa? Jawabnya, cinta kepada Allah.
Firman Allah, maksudnya: “Orang yang beriman sangat cinta kepada Allah. Kalaulah orang yang melakukan kezaliman mengetahui ketika mereka melihat seksaan (pada hari kiamat) bahawa kekuatan itu semua kepunyaan Allah dan amat berat seksaan-Nya (nescaya mereka menyesal).” (Surah al-Baqarah 2: 165)
Cinta kepada Allah sumber segala kekuatan, kekayaan, ketenangan dan kejayaan.
Manusia yang bercinta dengan Allah Yang Maha Kaya (al-Ghaniy), akan mendapat kekayaan jiwa yang tiada tandingan.
Manusia yang paling kuat ialah manusia yang mencintai Allah Yang Maha Perkasa (al-Qawiy).
Manusia yang jahil dan serba tidak tahu akan menjadi insan yang bijaksana apabila berhubung cinta dengan Allah Yang Maha Mengetahui (al-‘Alim).
Manusia yang cinta kepada Allah punya kekuatan dan ketenangan untuk menghadapi kehidupan. Hidup mereka tidak akan diganggu gugat oleh rasa takut atau dukacita.
Firman Allah yang bermaksud: “Kebebasan yang diberikan kepadamu (apabila diketahui oleh mereka) lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka, menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka reda akan apa-apa yang engkau lakukan kepada mereka. Dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui setiap yang ada dalam hati kamu. Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.” (Surah al-Ahzab 33: 51)
Jika kemanisan hidup yang kita cari, maka rasa cinta kepada Allah mestilah disemat dalam hati.
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai tiga perkara padanya, dia telah mendapatkan kemanisan iman, iaitu Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada selain kedua-duanya, serta mencintai dan membenci seseorang semata-mata kerana Allah. Dia hendaklah benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana dia membenci jika dicampakkan ke dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ekspresi Cinta Sahabat kepada Allah
Cinta kepada Allah telah membentuk sahabat-sahabat Nabi s.a.w. berikut menjadi orang yang hebat:
Sahabat/Tabiin Bukti Cinta
Abu Bakar r.a. Sanggup mengorbankan seluruh hartanya untuk Islam.
Umar al-Khattab r.a. Kurang tidur pada waktu malam hari kerana bimbang urusannya dengan Allah tidak selesai dan kurang tidur pada waktu siang kerana bimbang urusannya dengan manusia tidak selesai.
Umar bin Abdul Aziz Sangat amanah sehingga tidak sanggup mengambil sedikit pun harta negara untuk maslahat dirinya.
Khalid al-Walid Tidak terikat dengan jawatan apabila berkata: “Aku berjuang bukan kerana Umar (bahkan kerana Allah).”
Mengapa Perlu Mencintai Rasulullah?
Begitulah kelebihan mencintai Allah. Hitam, putih, manis, pahit, terang dan gelap – semuanya baik belaka jika sudah ada cinta. Namun demikian, cinta kepada Allah tidak mungkin dicapai tanpa melalui cinta Rasulullah s.a.w. Cinta Allah itu tujuan, cinta kepada Rasulullah pula jalan. Tujuan tidak akan tercapai tanpa mengikut jalan.
Antara jalan menuju kejayaan adalah dengan “meniru” orang yang berjaya sebagaimana yang turut dinyatakan oleh pakar motivasi dan psikologi. Sebagai umat Islam, siapa lagi insan paling berjaya jika tidak Rasulullah? Baginda mencapai kejayaan yang holistik sebagai individu dan masyarakat di dunia dan akhirat.
Allah s.w.t. telah menegaskan hakikat ini melalui firman-Nya yang bermaksud: “Pada diri Rasulullah buat kamu adalah suri teladan yang baik.” (Surah al-Ahzab 33: 21)
Tanpa berdolak-dalih lagi, kita boleh merumuskan bahawa punca kegagalan umat Islam kini kerana tidak menjadikan Rasulullah sebagai teladan.
Berikut dihuraikan sebab kita perlu mencintai Rasulullah s.a.w.:
1. Jalan mencintai Allah
Allah sendiri telah menunjukkan bahawa jalan mencintai Allah adalah dengan mencintai Rasulullah. Jalan itu wajib diikuti. Tidak ada manusia yang mampu mencintai Allah mengikut jalannya tersendiri. Seperkara lagi, kita mestilah mencintai segala-gala yang dicintai Allah. Ia meliputi mencintai para rasul, nabi, malaikat, hamba-Nya yang soleh, amal soleh dan akhlak mulia.
Tegasnya, cinta kepada Allah mewajibkan kita agar mencintai sesiapa dan segala sesuatu yang dicintai-Nya. Insan yang paling dicintai oleh Allah ialah Rasulullah s.a.w. Inilah syarat pertama dan utama untuk meraih cinta Allah.
Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Katakan: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Muhammad). Nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’” (Surah Ali ‘Imran 3: 31)
2. Rasulullah sangat dimuliakan Allah
Allah telah memilih Baginda sebagai manusia yang paling mulia dengan pengiktirafan berikut:
- Penghulu segala rasul.
- Menurunkan al-Quran kepadanya.
- Memuliakan dengan selawat.
- Menganugerahkan gelaran “Habibullah” (kekasih Allah).
Peri Rasulullah dimuliakan oleh Allah terpancar daripada firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah dan malaikat-Nya berselawat atas nabi. Wahai orang beriman, berselawatlah atas nabi.” (Surah al-Ahzab 33: 56)
Bukan itu sahaja, malah Baginda dimartabatkan sebagai pemberi rahmat bagi seluruh alam dan kelak Allah akan lebih memuliakannya dengan memberikan syafa‘ah ‘uzma (pertolongan agung) pada hari kiamat.
Insya-Allah, orang yang memuliakan insan yang dimuliakan Allah (Rasulullah) akan turut dimuliakan-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka aku akan berselawat atasnya 10 kali.” (Riwayat al-Bukhari)
3. Rasulullah sangat mencintai kita
Rasulullah merupakan Nabi yang paling mencintai umatnya. Atas dasar cinta itulah Baginda berjuang habis-habisan untuk menyampaikan ajaran Islam – agama yang menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat. Belum tentu orang yang kita cintai akan mencintai kita, tetapi Baginda memang terbukti mencintai kita. Jika kita mencintai Rasulullah, kita tidak akan bertepuk sebelah tangan… Cintailah Rasulullah, pasti cinta kita berbalas.
Bukti cinta ialah pengorbanan. Semakin tinggi cinta, semakin banyak pengorbanan. Lihatlah bagaimana Baginda telah menumpahkan keringat, mengalirkan air mata, malah rela menyabung nyawa demi menyelamatkan umat Islam daripada seksaan neraka?
Firman Allah, maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaummu sendiri. Terasa berat olehnya dengan penderitaanmu, yang sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan serta penyayang terhadap orang Mukmin.” (Surah al-Tawbah 9: 128)
Doa-doa yang diwariskan oleh Rasulullah kepada para sahabatnya dan kemudian dipindahkan daripada satu generasi ke satu generasi juga bukti cinta Rasulullah kepada umatnya. Jika kita merujuk kepada hadis-hadis yang dinukilkan dalam pelbagai kitab, kita dapat melihat betapa banyak khazanah doa yang diwariskan sebagai bukti kecintaan Baginda.
4. Jasa dan kebaikan Rasulullah yang melimpah
Budi dan jasa Rasulullah s.a.w. sangat luar biasa. Dakwah, nasihat, didikan, bimbingan, doa dan kepimpinan Rasulullah tidak terhitung nilainya. Baginda bukan sahaja bertungkus-lumus untuk menyelamatkan manusia di dunia sahaja, malah akhirat. Baginda telah menyampaikan berita (hari akhirat) sama ada yang menggembirakan (syurga) atau ancaman yang menakutkan (neraka) sebagai peringatan.
Itulah perbezaan Rasulullah s.a.w. dengan pemimpin dunia yang lain. Pemimpin biasa hanya berusaha menyelamatkan pengikutnya di dunia, tetapi Rasulullah berusaha menyelamatkan umatnya daripada kesengsaraan di dunia dan akhirat. Rasulullah s.a.w. bukan sahaja membersihkan dunia daripada kejahatan, malah membersihkan hati manusia daripada dosa dan kemungkaran.
Hati manusia yang dicemari syirik dan sifat mazmumah telah dibersihkan dengan kehadiran Rasulullah s.a.w. Hasilnya, terbentuklah generasi yang beriman.
Firman Allah, maksudnya: “Sesungguhnya, Allah memberi kurniaan kepada orang yang beriman ketika Allah mengutus antara mereka seorang Rasul daripada golongan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat Allah kepada mereka, membersihkan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-hikmah. Sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Ali ‘Imran 3: 164)
5. Keagungan akhlak Rasulullah
Setiap hati manusia akan jatuh cinta kepada orang yang mempunyai akhlak yang baik. Akhlak yang baik disukai oleh setiap manusia tidak kira agama, bangsa dan warna kulit. Ia nilai sejagat yang diakui oleh semua manusia. Ini juga salah satu sebab kita perlu mencintai Rasulullah s.a.w. kerana ketinggian dan keagungan akhlak Baginda.
Oleh sebab itu, sesiapa yang tidak jatuh cinta kepada Rasulullah s.a.w., itu petanda dia menolak fitrah manusia. Orang yang baik dan ingin menjadi baik akan mencintai dan meneladani orang yang baik. Tidak ada insan sebaik Nabi Muhammad s.a.w. Akhlak Baginda bukan sahaja dipuji oleh kawan dan lawan, malah oleh Tuhan Yang Maha Pencinta.
Allah berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya, kamu (Muhammad) benar-benar mempunyai budi pekerti yang agung.” (Surah al-Qalam 68: 4)
Tanda Mencintai Rasulullah
Sudahkah kita jatuh cinta kepada Rasulullah s.a.w.? Antara tanda mencintai Baginda ialah banyak mengingat, menyebut, merindu dan seterusnya ingin sekali bertemu. Maksudnya, cinta adalah satu perasaan yang bersemi dalam hati, diluahkan dengan lidah dan dibuktikan dengan tindakan dan pengorbanan.
Jika kita mengaku cintakan Rasulullah s.a.w., muhasabahlah sebanyak mana kita berselawat kepada Baginda sehari semalam? Selawat itu tanda ingatan. Setelah banyak mengingat dengan berselawat, tentulah rasa rindu untuk bertemu semakin mendalam. Ya, cinta dan rindu sangat sinonim.
Cinta yang hebat akan mampu mendekatkan jarak waktu dan jurang generasi. Inilah yang dialami oleh manusia yang hidup pada akhir zaman, tetapi punya cinta yang mendalam kepada Rasulullah s.a.w.
Justeru, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling aku cintai dalam kalangan umatku ialah orang sesudahku yang sangat ingin melihat aku (walaupun dengan mengorbankan) keluarga dan hartanya.” (Riwayat Muslim)
Kesimpulannya, orang yang bercinta mesti banyak mengingati sesiapa yang dicintainya. Apabila hati mengingat, mulut akan banyak menyebut. Apabila lidah banyak menyebut, hati akan berasa rindu. Apabila rindu, pasti terasa ingin bertemu. Ya, begitulah sifir cinta kepada Rasulullah. Bagaimana hendak bertemu dengan Rasulullah? Jawabnya, dengan mati dalam keadaan sedang berjuang menegakkan sunnahnya dalam seluruh aspek kehidupan!
Doa daripada Rasulullah
Lihatlah, betapa cinta Rasulullah s.a.w. apabila Baginda berkata kepada seorang sahabatnya; Mu‘az bin Jabal:
“Wahai Mu‘az, aku sangat mencintaimu. Selepas engkau menunaikan solat, jangan sekali-kali engkau lupa untuk berdoa kepada Allah dengan doa ini:
اَللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Bermaksud: ‘Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, mensyukuri nikmat-Mu dan memperbaiki ibadah kepada-Mu.’”
5 Jalan Utama Mencintai Rasulullah
Walau apa-apa pun keadaan, tidak ada pilihan lain buat kita melainkan cuba sedaya upaya mencintai Rasulullah s.a.w. sepenuh hati. Keselamatan kita di dunia dan akhirat bergantung kepada sejauh mana kita mencintai Rasulullah s.a.w. Justeru, untuk mencapai cinta Allah, kita perlu melalui terlebih dahulu jalan-jalan yang membawa cinta kepada Rasulullah.
Seorang Arab Badwi bertemu Rasulullah s.a.w. lantas bertanya: “Bila berlaku kiamat?”
Rasulullah s.a.w. bertanya kembali kepadanya, mafhumnya: “Apa yang sudah kau sediakan untuk menghadapinya?”
Orang Arab Badwi tersebut menjawab: “Aku menyediakan hati yang sangat mencintai engkau, wahai Rasulullah.”
Rasulullah membalas: “Seseorang akan bersama-sama dengan orang yang dicintainya di akhirat.”
Ketika mendengar jawapan Rasulullah itu, para sahabat Baginda sangat gembira. Malah, ada daripada mereka yang merasakan hari tersebut seolah-olah hari raya. Mereka merasakan dengan “bermodalkan” cinta, mereka boleh dikurniakan syurga!
KAEDAH MENCINTAI RASULULLAH
 Bagaimana hendak mencintai Rasulullah s.a.w.? Mencintai Rasulullah dapat dicapai melalui jalan-jalan berikut:
1. Mengenali Rasulullah
Kita perlu benar-benar mengenali Rasulullah melalui sirah dan sunnah Baginda. Tidak cukup hanya mengetahui dengan akal, tetapi kita perlu mengenali Baginda dengan hati, lalu cuba mempraktikkan segala sunnahnya dalam realiti kehidupan.
Tanya kepada diri: “Jika Rasulullah bersama-samaku, bagaimanakah rasa, kata dan tindakan kita ketika berdepan dengan suasana ini?” Begitulah rasa hati yang seharusnya ada dalam hati kita sekiranya ingin benar-benar mengenali Rasulullah s.a.w.
Akal — Tahu
Hati — Kenal
Mungkin telah banyak yang kita baca daripada sirah Rasulullah, tetapi sejauh mana ia meresap ke dalam hati untuk dirasai? Dengan cuba meneladani Baginda setiap masa, barulah kita diberi hidayah oleh Allah untuk benar-benar mengenali dan seterusnya mencintai  Rasulullah.
Untuk cinta, mesti kenal. “Tak kenal, maka tak cinta.” Apabila kita mengenali Rasulullah s.a.w., barulah kita boleh mencintainya. Justeru, tuntutan yang paling utama selepas mengenal Allah adalah dengan mengenal Rasulullah.
Ironinya, bagaimana mungkin ibu bapa mampu mengenalkan dan menyemai rasa cinta kepada Rasulullah kepada anak-anak jika diri mereka sendiri pun belum mengenali dan mencintai Baginda?
Mengenali Rasulullah s.a.w. melibatkan dua dimensi, seperti berikut:
Dimensi Contoh
Lahiriah Personaliti Rasulullah yang merangkumi nama, rupa fizikal, ahli keluarga dan lain-lain.
Rohaniah Aspek keyakinan, prinsip dan strategi perjuangan Rasulullah.
Tidak memadai jika kita mencintai Rasulullah s.a.w. hanya kerana jasad dan tubuh badan Baginda tanpa mengenali dan mencintai perjuangannya. Abu Talib, bapa saudara Nabi sendiri sangat kuat mempertahankan keselamatan nyawa Baginda. Malangnya, dia tidak mendapat hidayah untuk menyakini iman dan Islam yang menjadi perjuangan Baginda.
Oleh sebab itu, mengenali Rasulullah s.a.w. tidak cukup sekadar lahiriah. Kita mesti menyelami roh dan prinsip perjuangan Baginda. Perkenalan tahap pertama (lahiriah), tidak akan menghasilkan cinta yang sempurna.
Sekadar menghafal nama, mengetahui ahli keluarga dan mempunyai maklumat elemen luaran Baginda bukan pengenalan yang hakiki. Mungkin ia boleh menimbulkan minat, tetapi tidak akan membuahkan cinta. Pengenalan yang menghasilkan cinta ialah perkenalan yang meresap ke hati, bukan sekadar di kepala dan juga bukan sekadar hafalan, tetapi penghayatan.
Sedangkan cinta adalah soal hati dan rasa. Atas dasar itulah ramai umat Islam yang belum mencintai walaupun sering mengaku mencintai. Dalam hati cuma boleh menampung satu cinta. Jika cintakan dunia, manusia dan lain-lain masih mendominasi hati, ertinya cinta kepada Rasulullah tidak akan bersemi. Betapa jarang kita mengingati Rasulullah, apatah lagi merindukan untuk berjumpa dengannya.
2. Mematuhi ajaran Rasulullah
Tanda cinta ialah patuh. Pepatah Arab menyatakan: “Seseorang akan menjadi hamba kepada perkara yang dicintainya.” Seorang yang mencintai Rasulullah akan menjadi hamba kepada Allah dengan mengikut sunnah Rasulullah. Kepatuhan seseorang terhadap ajaran Rasulullah adalah bukti yang paling kuat menunjukkan kebenaran cintanya. Tanpa mematuhi ajarannya, dakwaan cinta itu adalah palsu.
Dalam konteks ini, al-Hasan al-Basri dan para salaf pernah menyatakan: “Sesuatu kaum mendakwa bahawa mereka mencintai Allah, lalu mereka diuji oleh Allah dengan menurunkan ayat 31 surah Ali ‘Imran yang bermaksud: ‘Katakan: ‘Jika benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku.’’
Setiap kali berarak, marhaban, bernasyid dan berselawat pada hari keputeraan Rasulullah, sepatutnya peringatan daripada al-Hasan al-Basri inilah yang lebih dititikberatkan.
3. Memuliakan dan menghormati Rasulullah
Kita dianggap memuliakan Rasulullah apabila membenarkan segala berita yang dibawa oleh Baginda, mematuhi segala suruhan, menjauhi segala larangan dan beribadah kepada Allah dengan cara yang ditunjukkannya. Sesiapa yang tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, ini bererti dia tidak lagi menghormati Rasulullah walaupun mulutnya mendakwa demikian.
Love is a verb not a word – cinta itu tindakan, bukan perkataan.” Seseorang yang tidak menegakkan sunnah Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan kerana kejahilan, kedegilan atau keangkuhan, maka secara langsung atau tidak dia telah menghina Rasulullah. Bahkan, secara sedar atau tidak, sikap itu boleh dikira sebagai meragui kejujuran, keadilan dan kebenaran yang dibawa Baginda.
Pada akhir zaman, bukti mencintai Rasulullah s.a.w. adalah dengan menegakkan sunnah Baginda, namun ia sangat sukar dilakukan seumpama menggenggam bara api. Namun, orang yang cinta, “buta” kepada penderitaan demi mendapat keredaan orang yang dicintainya, akan sanggup melakukan. Ya, cinta itu buta. Begitulah jika kita mencintai Rasulullah, kita sanggup menggenggam “bara api” tersebut dan mengamalkan sunnah Baginda walaupun terpaksa menggigitnya dengan gigi geraham.
Inilah maksud sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya Islam bermula dengan keasingan dan akan kembali asing seperti permulaan. Berbahagialah orang yang asing.” (Riwayat Muslim)
Rasulullah s.a.w. bersabda lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya, di belakang kalian ada hari-hari untuk orang yang bersabar seperti memegang bara api. Mereka yang mengamalkan sunnah pada hari tersebut akan mendapatkan pahala 50 kali daripada kalian yang mengamalkan amalan tersebut.”
Para sahabat bertanya: “Mendapatkan pahala 50 kali daripada kita atau daripada mereka?”
Rasulullah menjawab: “Bahkan 50 kali pahala daripada kalian.” (Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim)
Namun, kita mesti berwaspada pada tipu daya syaitan yang hendak menyesatkan manusia. Bagi mereka yang tidak ingin memuliakan Rasulullah s.a.w., syaitan meniupkan rasa enggan, berat dan angkuh untuk menegakkan sunnah. Manakala, bagi yang sudah mempunyai dorongan untuk memuliakan Baginda, syaitan akan mendorongnya secara keterlaluan hingga ke tahap terlajak dan terlampau.
Hal ini diperingatkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w., maksudnya: “Janganlah kamu keterlaluan menyanjung aku sebagaimana sanjungan yang diberikan orang Nasrani terhadap Nabi Isa anak Maryam. Sesungguhnya aku hamba-Nya, oleh sebab itu panggilan aku Abdullah (hamba Allah) dan Rasulullah (pesuruh Allah).” (Riwayat al-Bukhari)
4. Mencintai keluarga, kaum kerabat dan sahabat Rasulullah
Sudah lumrah apabila kita mencintai seseorang, kita akan turut mencintai semua orang yang dicintainya dan segala sesuatu yang membawa kepada kecintaannya. Dalam konteks ini, Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini: “Ya Allah, berikan cinta-Mu kepadaku, jadikan orang yang mencintai-Mu mencintaiku dan jadikan aku mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaan-Mu.”
Justeru, bukti cinta kita kepada Rasulullah s.a.w. adalah dengan mencintai seluruh keluarganya (isteri, anak, cucu dan seterusnya) serta para sahabat Baginda.
Jika ditanya, bagaimana? Jawapannya dengan menghormati para sahabat, mengakui keutamaan ahli bait, memelihara kehormatan dan kedudukan mereka serta benci kepada sesiapa yang menghina mereka. Kita tidak boleh berdiam diri apabila para sahabat dan ahli bait dikecam oleh sesiapa sahaja. Kita mestilah bertindak memberi penjelasan, penerangan dan berhujah dengan cara ilmiah dan amaliah (perbuatan) bahawa mereka memiliki keutamaan dan keistimewaan yang khusus.
Hakikat ini dijelaskan dalam firman Allah, maksudnya: “Orang yang terdahulu lagi yang pertama kali (masuk Islam) dalam kalangan Muhajirin, Ansar dan orang yang mengikut mereka dengan baik. Allah meredai mereka dan mereka pun reda kepada Allah. Dia menyediakan bagi mereka syurga yang mengalir sungai di dalamnya, dan mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah al-Tawbah 9: 100)
Ketika ada sahabat yang menyatakan kebimbangan dengan pelantikan Usamah bin Zaid sebagai jeneral tentera Islam, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, maksudnya: “Jika kalian mencela kepimpinannya, maka kalian juga mencela kepimpinan ayahnya sebelum ini. Demi Allah, dia (ayahnya) sangat layak menduduki jawatan panglima dan dia salah seorang yang paling aku cintai. Usamah adalah orang yang paling aku cintai sesudah ayahnya.” (Riwayat al-Bukhari)
Begitu juga rasa cinta yang diucapkan Baginda kepada cucunya iaitu al-Hasan dan al-Husin sehinggakan Baginda mendoakan mereka dengan doa: “Ya Allah, cintailah kedua-duanya kerana aku mencintai kedua-duanya.” (Riwayat al-Bukhari)
Mengakui mencintai Rasulullah tetapi membenci sahabat-sahabat utama Baginda adalah satu pendustaan. Padahal, keutamaan para sahabat dan generasi awal Islam telah ditegaskan oleh Rasulullah sendiri melalui sabdanya yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah (manusia yang hidup dalam) kurunku, kemudian mereka yang mengikutinya (tabi) dan mereka yang mengikutinya (tabi tabiin).” (Riwayat al-Bukhari)
5. Mencintai ulama yang gigih berdakwah
Ulama ialah pewaris nabi. Merekalah golongan yang paling teguh berpegang dengan sunnah dan gigih berdakwah menyebarkan Islam sejak dahulu sehingga kini. Di bahu merekalah terletaknya amanah untuk meneruskan perjuangan menegakkan Islam kepada umat setelah tidak akan ada lagi nabi atau rasul yang akan diutuskan kepada umat manusia. Tidak kira di mana-mana pun kedudukan kita sama ada sebagai umara atau umat, ulama mesti diletakkan sebagai penasihat, murabbi bahkan pembimbing ke jalan kebenaran.
Kita dituntut memuliakan ulama silam yang banyak berjasa dan menjaga warisan ilmu dengan penuh iltizam, ikhlas dan profesional. Mereka mewariskan kitab muktabar dan generasi ilmuwan yang meneruskan legasi kecemerlangan sehingga pada zaman kini. Walaupun mungkin sebagai manusia biasa, para ulama juga tidak terlepas daripada kekhilafan dan kesilapan, namun itu bukan alasan untuk memandang rendah apatah lagi mencerca mereka.
Alangkah baik sekiranya ada perbezaan sesama mereka (walau bagaimana besar sekalipun perbezaan itu) kita menerima dengan berlapang dada dan penuh adab.
Menghormati ulama silam sangat perlu berdasarkan ‘ibrah yang dijelaskan oleh firman Allah, maksudnya: “Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa, maksudnya: ‘Wahai Tuhan kami, berikan keampunan kepada kami dan saudara kami yang telah beriman terlebih dahulu daripada kami. Janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.’” (Surah al-Hashr 59: 10)
Mencintai Kerana Allah
Selepas mencintai Allah dan Rasul-Nya, kepada siapa lagi perlu kita mencintai? Ya, kita boleh mencintai sesiapa dan apa-apa sahaja dengan syarat diniatkan mencintai Allah. Mencintai Allah adalah sumber cinta semua dan segala-galanya. Justeru, cintailah Allah…
Rasulullah mampu mencintai isteri, anak, cucu, menantu, sahabat malah seluruh umatnya. Jika Rasulullah mencintai Mu‘az kerana Allah, maka kita juga mesti mencintai orang lain kerana Allah. Mencintai seseorang kerana Allah dan Rasul-Nya juga dikira mencintai Allah.
Namun, dalam apa-apa jua keadaan sekalipun, kecintaan kepada makhluk tidak boleh melebihi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah yang bermaksud:
“Jika bapa, anak, saudara, isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugian dan tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang fasiq.” (Surah al-Tawbah 9: 24)
Umar al-Khattab berkata kepada Rasulullah s.a.w.: “Wahai Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri.”
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: “Tidak, demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya sehingga aku lebih dicintai daripada dirimu sendiri.”
Umar r.a. berkata: “Sesungguhnya, demi Allah sekarang engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” (Riwayat al-Bukhari)
Adakah rasa hati kita telah merasai seperti yang pernah dirasai oleh Sayidina Umar? Adakah Rasulullah s.a.w. lebih kita cintai daripada diri kita sendiri?
Masya-Allah, semuanya masih jauh. Soalan “di mana Rasulullah di hati kita?” adalah satu persoalan yang perlu dijawab dengan jujur oleh setiap Muslim kerana kedudukan Rasulullah di hati kita adalah pengukur kedudukan Allah di hati kita. Di mana Allah di hati kita juga menentukan sejauh mana kebahagiaan, kejayaan, ketenangan, keselamatan dan keharmonian hidup kita di dunia dan akhirat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar